Kapal Angkasa Russia Meletup Di Udara

MOSCOW: Kapal angkasa kargo kawalan jauh Russia yang menuju ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) musnah di atmosfera Siberia semalam disebabkan masalah teknikal yang belum dikenal pasti. 


Kapal kargo Progress MS-o4 itu musnah pada ketinggian 190 kilometer di ruang udara Wilayah Tuva di Siberia yang bersempadan Mongolia, kata agensi Roscosmos dalam kenyataan. 

Ia berkata, kebanyakan serpihan kapal angkasa itu terbakar ketika memasuki atmosfera tetapi sebahagiannya jatuh di kawasan tidak berpenghuni di bumi. 

Penduduk tempatan dilaporkan melihat pancaran cahaya dan mendengar bunyi kuat di barat ibu negeri wilayah itu, Kyzyl, lebih 3,600 kilometer ke timur Moscow, kerajaan Tuva dipetik sebagai berkata lewat Khamis oleh agensi berita Interfax. 

Kapal kargo itu berlepas mengikut jadual pada 8.51 malam waktu tempatan dari kompleks pelancaran angkasa lepas Russia di Baikonur, Kazakhstan untuk membawa 2.5 tan metrik bahan api, air, makanan dan bekalan lain. Ia dijangka berlabuh di ISS pada Sabtu. 

Roscosmos berkata, kapal itu beroperasi secara normal sebelum ia berhenti memindahkan data enam setengah minit selepas pelancaran. 

Agensi angkasa lepas Russia tidak mengetahui jenis masalah, berkata pakar sedang mengkaji. Ia adalah kegagalan ketiga pelancaran kapal angkasa Russia dalam masa dua tahun. 

Kapal kargo Progress menjunam ke Lautan Pasifik pada Mei 2015 dana roket Proton-M membawa satelit canggih meletup di atmosfera pada Mei 2014. - AGENSI

0 comment... add one now