Kerajaan Tak Jual Kedaulatan Kepada China - Perdana Menteri

KUANTAN: Datuk Seri Najib Razak membidas tindakan pembangkang yang mendakwa kerajaan 'menjual' kedaulatan negara apabila memeterai perjanjian pelaburan dengan kerajaan dan syarikat dari China baru-baru ini. 


Perdana Menteri berkata, tuduhan seumpama itu adalah tidak adil kerana pelaburan berkenaan sebenarnya memberi manfaat besar kepada rakyat seperti pelaksanaan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 kilometer (km). 

"Mereka kata kita jual kedaulatan negara kepada China, tetapi dahulu bila Dasar Pandang Ke Timur (diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dan pelaburan Jepun di Malaysia...tiada pula isu itu (menjual kedaulatan negara). 

"Ia sama sahaja sebenarnya dan mewujudkan pekerjaan serta mengembangkan ekonomi negara, berpegang kepada dasar keadilan ia harus memberi manfaat kepada semua. 

"Kita hendak pastikan semua syarikat tempatan mendapat manfaat dari kontraktor kelas A ke F bukan sahaja untuk syarikat besar tetapi orang biasa, projek ECRL itu saya yakin mampu tingkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tiga negeri di pantai timur," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang tahun ke 31 Gabungan Persatuan Cina Pahang (GBCP) di sini, sebentar tadi. 

Yang turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden Gabungan Persatuan Cina Pahang, Tan Sri Pheng Yin Huah.

0 comment... add one now