Lembu Sado 'Pelaris' MAHA 2016

SERDANG: Lembu hibrid sado seberat 1.2 tan antara tarikan utama pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia 2016 (MAHA 2016), yang berlangsung di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS). 


Sebanyak 11 ekor lembu hidrid sado daripada baka Belgian Blue dipamerkan kepada orang ramai bagi memperkenalkan keunikan haiwan berkenaan, yang dikatakan boleh mencecah sehingga 1.4 tan. 

Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Dr Kamarulrizal Mat Isa, berkata haiwan berkenaan antara lembu di dunia yang mempunyai otot berganda selain Piedmontese dari Perancis. 

Beliau berkata, selain mempunyai otot berganda, keistimewaan lembu sado adalah ia mempunyai kandungan lemak yang rendah serta protein tinggi berbanding haiwan lain. 

"Lembu ini secara genetik juga mempunyai kandungan kolagen rendah dan daging yang lebih lembut. 

"Jabatan Veterinar mengambil inisiatif untuk memperkenalkan lembu ini bagi membantu penternak untuk meningkatkan pengeluaran daging segar tempatan serta memenuhi permintaan pengguna," katanya di sini, hari ini. 

Beliau berkata, setakat ini, lembu hibrid sado sudah mendapat perhatian penternak berskala kecil. 

"Kecenderungan ini didorong oleh faktor penghasilan daging yang lebih banyak tanpa membabitkan perubahan besar terhadap keperluan infrastruktur sedia ada mahupun amalan penternakan semasa," katanya.

0 comment... add one now