Mahathir Juga Beri 'Rasuah' Untuk Raih Undi PRU Semasa Berkuasa

KOTA BHARU – Tidak dinafikan Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) adalah ‘umpan’ BN untuk memenangi pilihan raya, malah ia merupakan ‘tradisi’ yang telah pun dimulakan sebelum pemerintahan kini, kata Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.


Menurutnya, malah dengan pemberian umpan ini juga kononnya menjadikan BN ‘kuat’, sekali gus umpan dianggap strategi utama dalam memenangi hati rakyat, sekali gus menang dalam PRU.

“(Pengerusi Bersatu) Tun Mahathir (Mohamad) misalnya telah menyekat royalti minyak yang sepatutnya diperoleh oleh Terengganu sewaktu ditadbir oleh Pas selepas PRU 1999.

"Demikian juga apabila Pas berjaya menawan Kelantan, pelbagai geran dan bantuan yang sepatutnya disalurkan kepada kerajaan negeri telah disekat termasuklah hanya membahagikan baja subsidi kepada penyokong-penyokong BN sahaja,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Mahathir bahawa BR1M hanyalah merupakan umpan kerajaan untuk memancing sokongan rakyat untuk memenangi pilihan raya umum yang akan datang.


Menurutnya, taktik umpan dan ugutan bukanlah bermula pada era pemerintah kini sahaja tetapi ia hanyalah penerusan kepada tradisi sebelum ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Pas Kelantan turut merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Mahathir yang akhirnya berjaya menyedari implikasi daripada tradisi buruk yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Bagi pihak Pas, kita menentang segala kepincangan kerajaan sama ada dahulu dan sekarang. Kita tidak menentang atas nama mana-mana individu, dan tidak berjuang hanya untuk menjatuhkan individu. 

Tetapi perjuangan kita ialah menukar sistem yang pincang pada hari ini kepada sistem yang terbaik berasaskan wahyu ALLAH SWT,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

0 comment... add one now