Manusia Terlawak Dunia Menghadap Sultan Johor

JOHOR BAHRU: Pelawak, pelakon dan pengacara, Harith Iskander, yang muncul juara pada kemuncak pertandingan Funniest Person In The World, 8 Disember lalu menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, hari ini. 


Harith yang ditemani isteri, Dr Jezamine Lim, tiba di Istana Pasir Pelangi, di sini, tengah hari tadi dan Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap pelawak terkenal yang berasal dari Johor itu. 

Turut berkenan berangkat, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Menerusi kenyataan terbaharu yang dimuat naik dalam laman Facebook rasmi milik Sultan Ibrahim, Harith turut membawa trofi kemenangan beliau dan mengambil peluang bergambar bersama Sultan Ibrahim. 

Dalam pertandingan yang berlangsung di Hullu Poro Arena, Levi, Finland itu, Harith mengetepikan pencabar terdekatnya, Alex Calleja dari Filipina apabila meraih 3.8 juta undian menerusi persembahan terakhirnya, selain menghampakan tiga peserta lain iaitu Katerina Vrana dari Greece, Mino van Nassau (India) dan David Kilimnick (Israel).


Kemenangan itu melayakkan Harith membawa pulang hadiah wang tunai RM440,000 dan berpeluang mengadakan siri jelajah di Amerika Syarikat (AS). 

Kejayaan Harith itu diumumkan menerusi akaun Twitter rasmi penganjur, Laugh Factory, yang mengucapkan tahniah atas kemenangannya.

0 comment... add one now