Myanmar Halang Rakyat Bekerja di Malaysia Kerana Isu Rohingya

NAYPYIDAW: Myanmar melarang pekerjanya daripada berkunjung ke Malaysia ketika hubungan kedua negara itu bertambah tegang susulan tindakan keras berdarah tentera ke atas etnik Rohingya di negara majoriti Buddha itu. 


Tindakan diambil selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak menyelar pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi kerana membenarkan 'penghapusan bangsa' dalam pentadbirannya ketika satu perhimpunan Ahad lalu di Kuala Lumpur yang menarik ribuan penyokong. 

Penunjuk perasaan membantah tindakan keras tentera di negeri barat Myanmar di Rakhine yang menyebabkan lebih 20,000 penduduk Islam Rohingya ke Bangladesh. 

Seorang menteri kabinet dalam kerajaan Malaysia turut menggesa semakan semula keanggotaan Myanmar dalam blok serantau ASEAN. Pihak berkuasa Myanmar menafikan dakwaan penderaan dan Suu Kyi memaklumkan masyarakat antarabangsa supaya berhenti "menyebarkan api kebencian." 

Lewat kelmarin, Kementerian Imigresen Myanmar berkata, ia berhenti mengeluarkan lesen baharu buat warganya bekerja di Malaysia, yang selama bertahun menjadi destinasi utama buruh pendatang. 


"Myanmar secara seketika berhenti menghantar pekerja ke Malaysia bermula 6 Disember disebabkan situasi terkini di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan tanpa mengulas lanjut. 

Malaysia menempatkan puluhan ribu pekerja Myanmar, kebanyakannya menjadi buruh kilang atau industri makanan dan hospitaliti. 

Menurut Malaysia, kira-kira 56,000 etnik Rohingya tiba di pantainya sejak beberapa tahun kebelakangan ini. -AFP

0 comment... add one now