PBB Mohon Suu Kyi Melawat Etnik Rohingya


NEW YORK: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi melawat wilayah barat laut negara itu bagi memberi jaminan kepada rakyat bahawa mereka akan dilindungi di tengah tuduhan tentera merogol wanita Islam Rohingya, membakar rumah dan membunuh penduduk awam. 

Tentera dan kerajaan Myanmar bagaimanapun menyangkal dakwaan membabitkan etnik Rohingya itu. 

Anggota tentera memenuhi kawasan sepanjang sempadan Myanmar dengan Bangladesh, tindak balas kepada serangan terancang ke atas tiga pos sempadan pada 9 Oktober yang membunuh sembilan anggota polis. 

Suu Kyi semalam menuduh masyarakat antarabangsa menambah kebencian antara penduduk Buddha dan Islam di barat laut negara itu. 

"Keengganan pihak berkuasa Myanmar mengambil pendirian tegas terhadap puak pelampau, dan menggunakan kaedah pertahanan berbanding pendekatan proaktif untuk menyediakan keselamatan kepada rakyat tempatan, menyebabkan kekecewaan dalam kalangan mereka dan antarabangsa. 

"Cuma dengan bertindak tegas kepada masalah itu kerajaan dapat menyelesaikan krisis dan mengekalkan imej antarabangsanya," kata Vijay Nambiar, penasihat khas kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, dalam kenyataan. 

Beliau juga mendesak Suu Kyi melawat Maungdaw dan Buthidaung di negeri Rakhine. 

Kekerasan tentera di Rakhine sudah mengorbankan sekurang-kurangnya 86 orang dan menyebabkan 10,000 lagi melarikan diri ke Bangladesh. 

Krisis itu memberi cabaran kepada pemenang Hadiah Nobel keamanan itu, yang berjaya memperoleh kuasa dengan janji mengutamakan perpaduan. - REUTERS

0 comment... add one now