Peminat Histeria Lihat Park Bo Gum Pakai Baju Melayu

KUALA LUMPUR: Aksi bintang Kpop, Park Bo Gum menggayakan baju Melayu berwarna ungu yang dilengkapi samping pada Konsert 2016-2017 Park Bo Gum Asia Tour In Kuala Lumpur menggamatkan Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi. 


Menghiburkan peminat dalam konsert dua jam, gelagat Bo Gum dipakaikan baju Melayu membuatkan peminat terutama gadis remaja teruja dan menjerit. 

Bo Gum pula bijak 'membeli' jiwa mereka dengan melafazkan kata-kata 'Sayang, aku cinta padamu' dalam Bahasa Malaysia pelat, sehingga dewan menjadi gamat dengan pekikan lebih 3,000 peminat. 

Selain mempesonakan peminat dengan langkah tari dan nyanyiannya, Bo Gum mempamerkan kebolehannya bermain piano. 

Lebih istimewa, Bo Gum menyediakan juadah Korea untuk peminat bertuah dalam bekas makanan yang ditandatanganinya. 

Namun, detik yang lebih memberi kesan emosi sudah pasti ketika pelakon drama Wonderful Mama dan Wonderful Days ini membacakan surat yang dikirim peminat. Bo Gum membaca surat dalam bahasa Korea dan diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh seorang petugas. 

Ketika itu, Bo Gum sebak kerana tidak menyangka mempunyai ramai peminat di Malaysia. Melihat emosi Bo Gum tersentuh, peminat turut menitiskan air mata. 

Bo Gum yang menerima trofi Personaliti Drama Korea Paling Berpengaruh, Anugerah Melodi (AM) 2016 yang turut diadakan malam tadi, dalam siri jelajah di Asia. 

Kuala Lumpur adalah destinasi persinggahan pertama buat bintang remaja ini. 

Rangkaian televisyen Media Prima dan syarikat elektronik, Samsung menjalin kerjasama sebagai penaja rasmi Konsert 2016-2017 Park Bo Gum Asia Tour In Kuala Lumpur. Tiket konsert Bo Gum laris dijual selepas tiga hari dilancarkan.

0 comment... add one now