Penipuan Dalam Pilihanraya Mudah Dilakukan - Tun M


KUALA LUMPUR : Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir mendakwa penipuan mudah dilakukan dalam pilihanraya sehingga keputusan dipertikai oleh pihak yang kalah.

Jelas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu lagi, antaranya adalah tindakan memindahkan pengundi dari kawasan yang dimenangi ke kawasan yang parti kalah dengan jumlah undi yang sedikit.

“Dengan tambahan sedikit sahaja pengundi dari kawasan kubu kepada kawasan kalah, kemenangan mudah dicapai,”katanya menerusi blog beliau, chedet.cc, pada Jumaat.

Selain itu, sogokan wang dan barangan juga boleh menentu kemenangan sesebuah parti dalam pilihanraya, kata Tun Mahathir.

Mengulas lanjut, bekas Presiden UMNO itu berkata, kebiasaannya sogokan itu dibuat secara rahsia kerana ia menyalahi undang-undang tetapi kerajaan boleh menghalang segala tindakan undang-undang terhadapnya dan membolehkan sogokan dibuat secara terbuka oleh parti kerajaan.

“Jika ada laporan dan dakwaan bahawa sogokan telah berlaku, ketua polis dan pendakwa raya boleh mengenepi atau menutup dakwaan itu. Mahkamah tidak akan dapat mendengar kes itu.

“Mungkin juga orang yang membuat laporan dimasuk dalam tahanan dan dihadapkan ke mahkamah. Setelah ini berlaku, tidak akan ada lagi sesiapa yang akan membuat laporan,”katanya.

Selain itu, penipuan dalam pilihanraya boleh berlaku apabila orang asing boleh digunakan untuk mengundi parti yang berkuasa.

“Katakanlah terdapat ramai orang asing yang berada dalam negara kerana sebab-sebab tertentu, mereka ini boleh diberi kad pengenalan warganegara dan didaftar sebagai pengundi.

“Sudah pun dikesan orang asing yang memiliki pasport negara lain, tetapi mempunyai kad pengenalan Malaysia,” katanya.

Mahathir berkata menerusi sogokan juga, pegawai dan kakitangan boleh mengambil bahagian dalam penipuan tersebut.

Ujarnya lagi, semua penipuan ini boleh dielak melalui satu cara iaitu rakyat sebagai pengundi, kakitangan dan pegawai mestilah menolak dengan sekeras-kerasnya rasuah dalam apa bentuk sekalipun.

“Demokrasi memang sistem yang terbaik tetapi demokrasi boleh disalahguna dan salahlaku sehingga wujud diktator demokratik atau lebih tepat lagi kleptokratik,”katanya yang sebelum itu berkata bahawa kebanyakan negara yang merdeka setelah dijajah memilih sistem demokrasi dalam pentadbiran sesebuah negara termasuk Malaysia.

0 comment... add one now