Penjara Sehari & Denda RM1,000 Sahaja

BATU PAHAT: Seorang pekerja salun dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan mencuri dengan menyorokkan produk kecantikan di dalam colinya, akhir bulan lalu. 


Tertuduh, Normala Rahman, 24, mengaku bersalah sebaik jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim. Majistret turut memerintahkan tertuduh dipenjarakan empat bulan jika gagal membayar denda berkenaan. 


Dua lagi tertuduh juvana turut mengaku bersalah namun majistret menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan akhlak mereka daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). 

Normala bersama dua lagi juvana dituduh mencuri di dalam bangunan produk kecantikan di Butik Blackcube Rich, Parit Raja, di sini, antara 7 hingga 8 malam, 30 November lalu. 

Mereka dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda, bagi kesalahan kali kedua atau kemudiannya hendaklah dihukum dengan penjara dan boleh dikenakan denda atau sebat. 

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah tidak mengenakan hukuman penjara dan sanggup membayar denda. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nur Fariha Najwa Wan Azaham. 

Ahli keluarga tertuduh yang memenuhi perkarangan mahkamah pada mulanya bertindak agresif apabila mengetahui kehadiran wakil media dengan mengancam serta memaki hamun media tetapi berjaya dikawal pihak berkuasa. 

Kes berkenaan mendapat perhatian ramai selepas pemilik butik itu memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian pada 30 November itu malam kelmarin dan menjadi viral.


0 comment... add one now