Pesawat Pakistan Bawa 47 Orang Terhempas

ISLAMABAD: Sebuah pesawat Pakistan membawa 47 orang terhempas hari ini dalam penerbangan domestik dari bandar utara pergunungan di Chitral ke bandar ini, kata pihak berkuasa penerbangan.


Penerbangan PK661 Pakistan International Airlines (PIA) terhempas di wilayah Khyber Pakhtunkhawa, kata pihak berkuasa penerbangan.

Satu kenyataan awal PIA berkata, pesawat turboprop ATR-42 itu terputus hubungan ketika dalam perjalanan dari Chitral.

"Sebuah pesawat terhempas dan penduduk tempatan memaklumkan kami ia terbakar. Polis dan pegawai penyelamat dalam perjalanan namun mereka masih belum sampai ke kawasan nahas," kata Saeed Wazir, seorang pegawai polis kanan.

Pesawat itu terhempas berhampiran bandar Havelian di daerah Abbottabad di wilayah itu.

Nahas besar terakhir Pakistan adalah pada 2015 apabila sebuah pesawat tenteranya terhempas di lembah terpencil di utara, mengorbankan lapan orang termasuk wakil Norway, Filipina dan Indonesia serta isteri seorang diplomat dari Malaysia.

Nahas terburuk berlaku pada 2010 apabila sebuah pesawat Airbus 321 dikendalikan syarikat penerbangan persendirian Airblue dan terbang dari Karachi terhempas ke arah bukit di luar bandar ini ketika mahu mendarat, mengorbankan kesemua 152 orang di dalamnya.

Nahas dipersalahkan ke atas kapten yang keliru dan suasana tegang dalam kokpit, menurut laporan rasmi. -AFP

0 comment... add one now