Presiden Duterte Ancam 'Bakar' Ibu Pejabat PBB

MANILA: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, mengancam 'membakar' ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, sebagai reaksi kepada peningkatan kritikan antarabangsa berhubung tindakan berdarah memerangi suspek pengedar dadah. 


“Pergilah mengadu kepada PBB. Saya akan bakar PBB jika kamu mahu. Saya akan membakarnya jika pergi ke Amerika Syarikat,” katanya, seperti dipetik akhbar New York Times, ketika berucap di pangkalan tentera di bandar raya Zamboanga. 

Khamis lalu, beliau menggelar Zeid Ra'ad Al Hussein sebagai 'bodoh' dan 'anak haram', selepas Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia itu menggesa siasatan dijalankan ke atas pengakuan Duterte yang membunuh ketika menjadi Datuk Bandar Davao, dan bilangan kematian mengejutkan dalam perang antidadah. 

“Zied ini sama ada pelawak atau gila. Kamu, pegawai PBB cuma duduk dan kami membayar gaji kamu. Kamu bodoh, jangan beritahu apa saya perlu buat. Siapa bagi hak itu kepada kamu? 

“Tutup mulut kerana bercakap tanpa otak. Balik ke sekolah semula. Kamu, PBB, tidak tahu soal diplomasi. Kamu tidak tahu cara bertindak seperti pekerja PBB. Jangan cakap begitu dengan saya, anak haram,” katanya. 

September lalu, pemimpin bermulut celupar itu enggan bertemu Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon, malah mengancam menarik diri dari badan dunia itu selepas ia mengkritik kempen memerangi dadah yang dilancarkannya. 

Kaedah kontroversi Duterte membasmi dadah terlarang bertunjang daripada jawatannya sebagai Datuk Bandar Davao selama 22 tahun. 

Dianggarkan 2,400 kematian berkaitan kempen itu sejak Mei lalu, apabila Duterte mengangkat sumpah sebagai Presiden. 

Minggu lalu, Duterte mengaku beliau secara peribadi membunuh suspek jenayah ketika menjadi Datuk Bandar Davao, yang melakukan rondaan di jalan raya dengan menunggang motosikal. 

“Di Davao, saya melakukannya secara peribadi. Cuma hendak menunjukkan kepada polis, jika saya boleh melakukannya, mengapa tidak mereka?” 

“Saya meronda di Davao dengan motosikal, meronda di jalan raya mencari masalah. Saya mencari konfrontasi supaya boleh membunuh,” katanya ketika itu. - Agensi

BACA JUGA: Amerika Batal Penjualan Senjata Kepada Filipina

0 comment... add one now