Ringgit Diramal Jatuh Lebih Teruk Minggu Hadapan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka terus berdepan tekanan pada minggu depan, termasuk mungkin mencecah paras 4.50 berbanding dolar AS berikutan pengaliran keluar dana asing secara berterusan daripada pasaran negara pesat membangun. 


Naib Presiden dan Ketua Penyelidikan Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan, berkata unit tempatan itu disebut harga pada paras 4.4780 berbanding dolar AS Selasa lepas - yang terendah sejak paras 4.71 dicatatkan pada Januari 1998. 

"Pengaliran keluar dana asing itu disebabkan oleh tindakan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menaikkan kadar faedah serta jangkaan lebih banyak langkah sama diambil pada 2017 selain dasar baharu bakal Presiden AS Donald Trump membabitkan perbelanjaan infrastruktur dan potongan cukai," katanya. 

Selain itu, katanya, kelemahan harga komoditi seperti minyak mentah dan minyak sawit mentah juga dijangka mengheret turun ringgit pada minggu depan. 

"Ringgit dijangka terus dihimpit tekanan untuk beberapa minggu lagi sehinggalah (pasaran) lebih jelas mengenai dasar Trump membabitkan aspek luar negara dan perdagangan serta kesan daripada reaksi pasaran terhadap langkah Fed berkenaan. 

"Ia mungkin memakan masa beberapa minggu lagi sebelum ringgit dapat stabil semula," katanya. 

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit bagaimanapun mengukuh pada paras 4.4725/4755 berbanding dolar AS daripada 4.4755/4795, Jumaat lepas serta naik berbanding mata wang asing utama lainnya kecuali yen. 

Ringgit juga mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0934/0959 daripada 3.1015/1058 Jumaat lepas, naik berbanding pound Britain kepada 5.4904/4946 daripada 5.5568/5640 minggu lepas dan meningkat kepada 4.6751/6800 berbanding Euro daripada 4.6823/6887, sebelum ini. 

Ia bagaimanapun susut kepada 3.8112/8145 berbanding yen daripada 3.7899/7959 pada Jumaat lepas.

0 comment... add one now