Saya Ada Hak Ke Atas TRW - Annuar Musa

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menjelaskan tindakannya membantu dan bersuara mengenai skuad The Red Warriors (TRW) adalah haknya sebagai rakyat negeri itu.


Malah, Annuar dalam kenyataan terkini di akaun Facebook miliknya hari ini, menyifatkan tidak salah untuk KAFA membuka ruang kepada individu yang lebih baik bagi memacu persatuan berkenaan. 

"Setelah bertahun-tahun meraih kejayaan, tidaklah salah kita buka ruang pimpinan kepada sesiapa yang lebih baik dalam kalangan kita...rasanya itu lebih baik daripada saya memilik peribadikan kejayaan dan pasukan. 

"Justeru, biarlah jawatan terus terbuka kepada yang mahu. Namun hak untuk saya membantu, beri pendapat, berFacebook, menonton dan menjadi penyokong TRW adalah hak saya selama-lamanya sebagai anak Klate (Kelantan). 

"Setakat mampu saya tetap membantu. Sebagai wakil rakyat tentulah saya menghargai suara rakyat...saya tidak memerintah. Saya naik turun bersama rakyat. Mereka berkuasa atas saya...selebihnya saya sentiasa bertawakal dan berserah pada Allah...," kata Annuar dalam kenyataan itu. 

Dalam kenyataan sama, Annuar berkata Kelantan boleh berbangga dan bersyukur kerana pasukan bola sepak mereka dibangunkan dari bawah oleh sukarelawan yang terdiri daripada kalangan rakyat sendiri. 

Selain mengingatkan TRW tidak boleh terlalu berbangga dengan kejayaan yang dikecapi sebelum ini, beliau juga berharap pasukan itu menghormati dan tidak mencampuri cara persatuan lain menguruskan pasukan mereka. 

"Kita juga menghormati semua pasukan lawan sehingga kini stadium kita boleh saja di kunjungi lawan. Kita punya hubungan baik dengan semua dan kita tidak mencampuri cara mana orang lain menguruskan diri mereka. 

"Kita cara kita walau sememangnya kita daif. Kita dididik cara Klate...menghormati orang...kita juga bukan tidak pernah menolong orang lain sekadar mampu. 

"Kita sering meminjamkan pemain, kita mengalah dalam perebutan pemain, kita menyokong orang yang kita fikir layak memimpin persatuan, kita membiarkan penghijrahan pemain ke pasukan lawan...cuma yang pasti kita boleh berkawan tapi kita tidak boleh disogok lawan," katanya.

0 comment... add one now