Setengah Juta Ringgit Lebur Diperdaya Warga Asing

Wanita rugi RM500,000 mangsa African Scam


ISKANDAR PUTERI: Seorang wanita berusia 39 tahun kerugian RM500,000 selepas terpedaya dengan janji warga asing menerusi sindiket penipuan internet atau African Scam. 

Wanita yang menjalankan perniagaan sendiri itu membuat laporan di Balai Polis Bukit Indah di sini Selasa lalu, mendakwa berkenalan dengan seorang lelaki kononnya warga Scotland pada September lalu menerusi Facebook. 

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad, berkata susulan laporan mangsa, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri menjalankan siasatan sebelum menahan tujuh lelaki warga asing. 

Katanya, penahanan itu adalah hasil serbuan di beberapa lokasi di ibu negara Rabu lalu. 

"Mereka yang ditahan membabitkan warga Nigeria dan Liberia berusia antara 30 hingga 40 tahun. 

"Siasatan polis mendapati lima daripada suspek tidak memiliki dokumen perjalanan sah, manakala dua lagi lelaki mempunyai pasport. 

"Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas beberapa barangan antaranya 12 unit telefon bimbit, komputer riba (tujuh), kad ATM (3), kad sim (11) dan satu buku akaun simpanan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Noor Hashim berkata, seorang daripada suspek dikatakan mengajak mangsa melaburkan sejumlah wang untuk membeli bahan kimia mahal bagi mencuci mata wang dolar Amerika Syarikat (AS). 

Beliau berkata, semua suspek direman sehingga 22 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

0 comment... add one now