Sharnaaz Melamar Kakak Neelofa Dengan Bismillah

KUALA LUMPUR: Pelakon, Sharnaaz Ahmad, bakal membawa perhubungannya dengan kakak Neelofa, Noor Nabila, ke fasa lebih bermakna apabila majlis merisik diadakan di kediaman keluarga bakal isterinya di sini, pagi tadi. 


Menurut bintang Juvana berkenaan, kira-kira 15 anggota keluarga kedua-dua pihak berkumpul pada acara yang berlangsung sekitar jam 11 pagi itu. 

"Pada majlis berkenaan, keluarga saya diwakili empat orang termasuk ibu bapa saya. Kami juga sepakat untuk tidak mengadakan majlis bertunang, sebaliknya terus melangsungkan pernikahan. 

"Insya-Allah, atas persetujuan bersama, kami berdua bakal disatukan sebagai suami isteri pada suku pertama tahun depan. 

"Menurut perancangan juga, jika boleh kami akan mengadakan majlis kahwin sebelum ketibaan Ramadan dan Syawal. Jadi, dapatlah kami beraya sama sebagai suami isteri," kata Sharnaaz. 

Mengenai insan yang berjaya menambat hatinya itu, pelakon yang turut bergelar pengarah ini menganggap Nabila sebagai wanita memiliki ciri-ciri isteri yang baik. 

"Saya tidak menganggap dirinya sebagai figura yang sesuai dijadikan kekasih semata-mata, sebaliknya lebih kepada wanita yang memiliki kriteria menjadi isteri yang baik. 

"Melihat caranya melayan saya dan bagaimana beliau mampu berdepan dengan pelbagai keadaan, saya yakin Nabila pilihan yang tepat. Beliau boleh menjaga saya dengan baik. Insya-Allah," katanya. 

Mengenai kerjaya seni, Sharnaaz ketika ini dilihat lebih banyak berehat daripada aktiviti lakonan selain menumpukan perhatian kepada perniagaan yang diceburi. 

"Jika diizinkan Tuhan, saya akan kembali aktif berlakon pada awal tahun hadapan," katanya yang kali akhir dilihat menjayakan drama Awak Sangat Nakal bersama Ayda Jebat.

0 comment... add one now