Shukri Yahaya Bangga Buntat Jadi Viral

KUALA LUMPUR: Aktor, Shukri Yahaya tumpang gembira apabila watak Buntat lakonan Muhammad Ariff Abdullah, 12, dalam drama rantaian 7 Hari Mencintaiku trending di laman sosial, Isnin lalu. 


Katanya, sedari awal beliau menyedari potensi dimiliki anak kecil itu apabila mampu menghayati wataknya dengan berkesan hingga membuatkan penonton menitiskan air mata. 

"Alhamdulillah. Saya seronok apabila mendapat tahu penonton tersentuh dan menyukai watak Buntat. Rata-rata memuat naik status sedih kerana terkesan menyaksikan babak Buntat dipukul hingga meninggal dunia. 

"Ini membuktikan penulis dan pengarah berjaya membangkitkan elemen dramatik selain dibantu lakonan penuh mantap Ariff. Tidak sangka sambutan yang diberikan begitu memberangsangkan hingga viral. 

"Sebagai gandingan dalam drama 7 Hari Mencintaiku, saya melihat pendedahan ini sebagai landasan Ariff melangkah lebih jauh dalam bidang lakonan," katanya.

Biarpun baharu kali kedua mempertaruhkan bakat di arena lakonan iaitu selepas membintangi filem Jibam, kanak-kanak terbabit berjaya membawakan watak Buntat secara semula jadi. 

Terdahulu, karektor sebagai anak kecil yang menjadi mangsa keadaan, Buntat menjadi bualan pengguna laman sosial sebaik watak itu meninggal dunia malah ramai memuji lakonan Ariff. 

Selain Shukri Yahaya, drama adaptasi novel itu yang disiarkan menerusi slot Akasia di TV3 ini turut menampilkan Siti Saleha selaku teraju utama.

0 comment... add one now