Tiada Pemain Malaysia Bernilai Jutaan Ringgit - Datuk Santokh Singh

KUALA LUMPUR: "Kalau (Datuk) Mokhtar Dahari barulah layak bernilai jutaan ringgit!," kata legenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh. 


Bekas pertahanan tengah skuad kebangsaan era 70-an itu membidas betapa kebanyakan pemain tempatan yang memegang tag harga sehingga bernilai jutaan ringgit sebenarnya 'indah khabar dari rupa'. 

Malah tegasnya, mereka gagal untuk memperagakan kualiti yang setara dengan apa yang dibayar untuk khidmat mereka. 

"Saya lihat kebanyakan pemain kita dibayar lebih daripada nilai yang sepatutnya dan tidak menunjukkan kualiti sebagai seorang pemain yang layak menerima bayaran begitu tinggi apabila diturunkan ketika beraksi dalam sesuatu perlawanan. 

"Jika dinilai jumlah perpindahan dan gaji yang sepatutnya diterima pemain tempatan, mereka seharusnya bernilai sekitar RM10,000 hingga RM15,000 sahaja dengan mengambil kira berdasarkan sumbangan yang diberikan terhadap kelab dan juga pasukan kebangsaan," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas nilai perpindahan pemain tempatan yang mencecah sehingga jutaan ringgit yang mana situasi ini memberi kelebihan terhadap pasukan yang memiliki sumber kewangan besar untuk mencipta 'pasukan impian' dengan mendapatkan pemain terbaik di seluruh negara. 

BH Sukan semalam melaporkan ayam tambatan Selangor, Ahmad Hazwan Bakri sah menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan yuran perpindahan yang difahamkan mencecah kira-kira RM1 juta. 


Difahamkan, jumlah itu termasuk dengan nilai tebus kontrak yang bernilai lebih RM600,000 selepas kontrak pemain berusia 25 tahun itu masih berbaki setahun dengan The Red Giants. 

Santokh berkata, beliau mengerti betapa bola sepak kini menjadi satu perniagaan dengan setiap pasukan yang berkemampuan boleh menawarkan apa sahaja jumlah untuk mendapatkan pemain yang diinginkan mereka. 

"Namun jika pemain yang dibeli itu tidak memberikan persembahan yang terbaik dan gagal menarik kehadiran penyokong ke stadium, jadi apa gunanya mereka dibayar mahal-mahal. 

"Bagi saya, jika seseorang pemain itu diletakkan bernilai jutaan ringgit, kualiti mereka sepatutnya setaraf dengan legenda bola sepak negara, Mokhtar tetapi setakat ini, tiada satu pemain pun yang berada dalam kelas yang sama dengan bekas penggempur kebangsaan itu," katanya.

0 comment... add one now