TPM Gesa Penjawat Awam Terus Bela Kerajaan, Seperti Anak Menghormati Ibu Bapa

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta penjawat awam terus memberi sokongan dan membela kerajaan terutama ketika kerajaan berdepan pelbagai tekanan serta tohmahan daripada pelbagai pihak. 


Ketika menyatakan harapan itu, Timbalan Perdana Menteri menggunakan analogi penjawat awam sebagai anak, manakala ibu bapa sebagai pihak kerajaan. 

"Sebagai anak, tidak sepatutnya ikut sekali 'sepak kaki dan ketuk kepala ibu bapa' kalau ada orang lain yang buat begitu. 

"Walaupun berbeza pendapat, anak tetap perlu tetap hormat dan membela ibu bapa jika ada yang sepak kaki dan ketuk kepala mereka," katanya ketika merasmikan Konvensyen Kongres Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ke-27 di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Timbalannya, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib serta Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda. 

Ahmad Zahid berkata, kerajaan sedia menimbang cadangan CUEPACS supaya diwujudkan skim insurans bagi melindungi dan membela kebajikan penjawat awam. 

"Kerajaan akan minta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menimbang cadangan mewujudkan skim insurans untuk 1.5 juta penjawat awam. Ia satu cadangan yang munasabah," katanya.

0 comment... add one now