Banjir Besar di Kelantan Semakin Melarat

RANTAU PANJANG: Mangsa pemindahan banjir di daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang bertambah kepada 2,473 orang membabitkan 1,004 keluarga.


Sebanyak 16 pusat pemindahan dibuka di daerah ini selepas paras air Sungai Golok meningkat kepada 10.35 meter yang melebihi paras bahaya, sehingga jam 11.30 pagi ini.

Mangsa orang kurang upaya (OKU), Norizan Zakaria, 41, ketika ditemui di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, berkata tindakan pantas pihak bomba dapat membantu dia bersama adiknya berpindah.

"Saya bersama adik perempuan, Salmiah Din, 29, meminta bantuan jiran untuk menelefon bomba petang semalam kerana air sudah mula memasuki ke dalam rumah

"Keadaan lebih menyukarkan saya kerana tidak mampu berjalan dan perlu diangkat untuk bergerak.

"Saya bersyukur kerana pihak bomba sampai dengan cepat menyelamatkan saya yang hanya tinggal bersama adik.

"Saya sempat mengemas sebelum rumah dinaiki air dan hanya membawa dokumen penting ke sini," katanya ketika ditemui BH di tempat pemindahan banjir SK Gual Tinggi yang menempatkan 594 mangsa.

Sementara itu, Jalaludin Ibrahim, 58, tidak menyangka air naik dengan cepat dan mengambil keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan malam tadi.

"Saya bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga dan membuat keputusan datang sendiri ke sini. Selain risau dengan air yang semakin naik, banyak haiwan berbisa seperti ular mula memasuki ke dalam rumah, " katanya.

0 comment... add one now