Che Ta Buatkan Akaun Instagram Untuk Masa Depan Aaisyah Dhia Rana

KUALA LUMPUR: Demi tuntutan semasa, Rozita Che Wan terpaksa akur membuka akaun rasmi Instagram anak bongsunya, Aaisyah Dhia Rana, pada 1 November lalu. 


Akaun di bawah nama @aaisyahdhiarana111 itu dibuka pada tarikh berkenaan sebagai simbolik ulang tahun kedua kelahirannya. 

Ketika artikel ini ditulis, jumlah pengikut Instagram si comel berkenaan sudah pun hampir mencecah 91,000 orang. Selain Aaisyah, anak selebriti lain yang turut menjadi perhatian di laman sosial ialah cahaya mata pasangan Scha Alyahya dan Awal Ashaari, Lara Alana; serta anak Hairul Azreen dan Hanis Zalikha, Yusuf Iskandar. 

Tidak ketinggalan anak Ning Baizura, Yasmin Hani serta pasangan Diana Danielle dan Farid Kamil. 

"Memang sebelum ini saya dan suami (Zain Saidin) tidak mahu mewujudkan sebarang akaun laman sosial untuknya. Begitupun, ketika kami enggan berbuat begitu, wujud banyak pula akaun tidak rasmi yang diusahakan pihak meminatinya. 

"Keadaan semasa termasuk dirinya yang menjadi duta beberapa produk memerlukan apa saja berkaitan dipromosikan. Begitupun, saya sendiri menapis gambar atau video yang dimuat naik, termasuk pergerakan sehariannya. Selalunya ia lebih kepada gambar 'throwback'. 

"Akaun rasminya dijaga oleh individu lain yang diberikan mandat oleh kami bagi mengemaskini atau memuat naik gambar berkaitan," kata Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta. 

Menurut wanita ini, beliau tidak mempunyai masa untuk menguruskan akaun Instagram anaknya itu, seperti dilakukan kebanyakan pasangan artis lain yang memilih mengendalikan sendiri laman sosial permata hati masing-masing. 

Dalam perkembangan lain, Rozita bersama keluarga bakal muncul dalam program realiti, The House musim ketiga, bermula esok. 

"Selain itu, saya juga sibuk menjalani penggambaran program 13 episod Fashion Mania bersama Aidit Noh. Sehingga kini, rancangan terbitan Zeel Production itu baru tujuh episod dirakam. Program saya kendalikan menerusi produksi sendiri, Padusi Pictures, iaitu Air Tangan Bonda pula sudah mula disiarkan," katanya.

Mengenai dunia lakonan, kali terakhir Rozita dilihat di kaca TV adalah menerusi telefilem, Cikgu Dina Pakai Prada, yang disiarkan di TV9 baru-baru ini. Ia turut dilakonkan Redza Rosli dan Ruhainies. 

"Saya pada awalnya dijadualkan muncul dalam beberapa babak saja. Tetapi, kerana saya baik dengan penerbitnya, babak lakonan saya jadi lebih. Saya juga sepatutnya berlakon dalam drama, Jejak Karmila, yang kini bersiaran di TV3. Namun dek faktor masa, saya terpaksa menolaknya," katanya.

0 comment... add one now