DBKL 'Langgar' Premis Niaga Sekitar Bukit Bintang

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan gerai dan premis perniagaan yang dimonopoli warga asing kerana menghalang laluan awam dan menyalahi struktur asal bangunan di sekitar Bukit Bintang di sini, pagi tadi. 


Operasi serentak itu dilakukan Jabatan Penguatkuasaan dan Jabatan Kawalan dan Pengawasan Bangunan DBKL sejak jam 9 pagi, selepas peniaga dan pemilik premis masih berdegil menjalankan perniagaan tanpa menghiraukan notis pemberhentian pihak DBKL. 

Antara yang diroboh adalah gerai cenderamata, restoran dan pusat refleksologi yang sudah beberapa kali dirobohkan dalam tempoh lima tahun tetapi terus beroperasi. 

Difahamkan, peniaga asing masih berdegil dan meneruskan kegiatan mereka dengan membina semula premis kerana faktor keuntungan berlipat ganda berbanding jumlah kerugian, Tinjauan BH di lokasi operasi mendapati sewa yang dikenakan satu gerai kecil mencecah RM8,000 hingga RM10,000 sebulan, namun difahamkan keuntungan yang diperoleh mereka sehingga tiga hingga empat kali ganda. 

Ketua Operasi Jabatan Penguatkuasaan DBKL, Nur Syaffiekah Mohd Syarif berkata, operasi menyita dan meroboh itu dibuat selepas notis diberi sudah tamat tempoh. 

Katanya, operasi untuk merobohkan gerai dilakukan mengikut Seksyen 46(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana menghalang laluan awam dan perniagaan. 

Sementara itu, 33 pegawai dan anggota penguat kuasa Jabatan Kawalan dan Pengawasan Bangunan DBKL turut merobohkan struktur sambungan haram di sekitar Bukit Bintang.

0 comment... add one now