Ekonomi Malaysia Berkembang Dengan Baik - Menteri Kewangan

PUTRAJAYA: Ekonomi Malaysia, yang diunjurkan berkembang antara 4.5 dan 5.0 peratus tahun ini, diyakini dapat dicapai berdasarkan asas ekonomi negara yang kukuh serta dasar fiskal dan kewangan yang baik, kata Datuk Seri Najib Razak. 


Bercakap pada Perhimpunan Khas Kementerian Kewangan di sini hari ini, Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sasaran itu adalah lebih baik berbanding jangkaan yang dicapai ekonomi negara pada tahun lalu iaitu sekitar 4.0 hingga 4.5 peratus. 

Timbalan Perdana Menteri berkata prospek pertumbuhan ekonomi dunia pada 2017 dijangkakan lebih baik berbanding tahun sebelumnya, berkembang 3.4 peratus berbanding 3.1 peratus pada 2016. 

Katanya, perdagangan dunia juga dijangkakan meningkat 3.8 peratus pada tahun ini berbanding 2.3 peratus pada 2016. 

"Bagaimanapun, beberapa risiko dijangkakan terus dihadapi, termasuk pasaran kewangan global yang semakin tidak menentu dan pertumbuhan yang lebih perlahan dalam kalangan negara maju dan beberapa negara serta perkembangan dasar di Amerika Syarikat yang perlu diberi perhatian," katanya. 

Katanya, Malaysia juga menghadapi beberapa risiko domestik seperti lebihan akaun semasa yang semakin mengecil, penyusutan nilai mata wang ringgit, peningkatan hutang isi rumah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) serta peningkatan kos sara hidup. 

Mengenai harga minyak dan komoditi minyak sawit dan getah, Perdana Menteri berkata semua harga itu menunjukkan trend terkini yang memberangsangkan. 

"Harga minyak mentah global, Brent, menunjukkan trend peningkatan iaitu berada pada paras purata AS$55 setong sehingga 23 Januari lalu berbanding AS$44 setong bagi tahun lalu. 

Katanya, dengan komitmen daripada Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan bukan OPEC untuk mengehadkan pengeluaran dunia, harga Brent dijangkakan dapat dipertahankan pada paras itu atau naik sedikit tahun ini. 

Mengenai harga minyak sawit, katanya, trend peningkatan harga komoditi itu boleh dilihat berdasarkan harga terkini yang mencecah purata RM3,264 setan metrik (sehingga 23 Januari 2017) berbanding RM2,650 setan metrik pada 2016. 

Najib berkata harga getah yang juga meningkat dengan ketara, sudah pasti memberi kelegaan kepada ratusan ribu pekebun kecil di luar bandar. 

Beliau berkata sekiranya trend itu berterusan, kedudukan kewangan negara akan bertambah kukuh dan lebih banyak program berpaksikan kesejahteraan rakyat akan dapat dilaksanakan. BERNAMA

0 comment... add one now