Jangan Ambil Kesempatan Naikkan Harga Ikan Ketika Banjir - Menteri

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menasihatkan peniaga supaya tidak menaikkan harga ikan berikutan kekurangan bekalan ketika musim banjir. 


Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata walaupun ia tidak termasuk dalam kategori barang kawalan, kementerian akan tetap memantau harga ikan supaya tidak membebankan pengguna. 

"Kekurangan bekalan ikan dalam keadaan cuaca tidak menentu tidak dapat dielakkan kerana bencana yang berlaku menjejaskan aktiviti nelayan. Masih ada peniaga yang menjual pada harga berpatutan, ...kecuali tiada apa bencana berlaku tiba-tiba harga naik, kita akan siasat," katanya. 

Beliau berkata demikian selepas melancarkan kempen 'Ong Mali' Tesco Malaysia sempena Tahun Baru Cina di Kepong Village Mall hari ini. 

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata harga barang kawalan sempena Tahun Baru Cina kali ini dijangka diumumkan pada 18 Januari ini. 

Sementara itu, beliau menjelaskan bayaran 20 sen untuk setiap beg plastik yang dicaj kepada pelanggan akan dimanfaatkan untuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang membabitkan alam sekitar. 

"Kutipan itu akan dimasukkan ke dalam akaun khas dan diberi kembali kepada pengguna melalui inisiatif CSR. Namun apa pun program yang dilakukan mesti mendapat kelulusan jawatankuasa ahli lembaga, termasuk KPDNKK," katanya.

0 comment... add one now