Jelingan Tajam Bekas Pemain JDT Kepada Faiz Subri Curi Tumpuan Ramai

Tahniah diucapkan kepada Faiz Subri, pemain pasukan Pulau Pinang yang telah mengharumkan nama Malaysia awal pagi tadi. 


Penyerang sensasi Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri yang merangkul Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 nyata kelu dan tidak mampu berkata apa-apa sejurus namanya diumumkan sebagai pemenang anugerah itu pada Majlis Anugerah Bola Sepak FIFA 2016 di Zurich, Switzerland, sebentar tadi.

Dia juga kelihatan gementar apabila tidak dapat mencari teks ucapan yang disimpan dalam telefon bimbitnya, namun keberaniannya menyampaikan ucapan dalam Bahasa Inggeris pada majlis bertaraf antarabangsa itu wajar dipuji.

Penyerang berusia 30 tahun itu bersyukur kerana akhirnya jaringan ajaib yang dilakukan ketika Pulau Pinang menentang Pahang pada aksi Liga Super pada Februari tahun lalu membolehkannya merangkul anugerah berkenaan sekali gus mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama meraih Anugerah Puskas.

"Saya sendiri tidak menyangka dapat sampai ke tahap ini dan mampu berdiri dengan pemain antarabangsa yang lain.

"Terima kasih kepada semua pihak yang menjadikan impian ini satu realiti terutama kepada pengundi saya di seluruh dunia," katanya ketika menyampaikan ucapan selepas menerima anugerah terbabit yang disampaikan legenda bola sepak Brazil, Ronaldo.

Faiz memperoleh 59.46 peratus daripada keseluruhan undian dan jauh meninggalkan pencabarnya, Marlone di tangga kedua selepas meraih 22.86 peratus undi manakala pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez memperoleh 10.01 peratus undi.

Sementara itu, bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo menggondol Anugerah Pemain Lelaki Terbaik FIFA 2016 selepas mengharungi tahun lalu dengan pelbagai kejayaan antaranya memenangi Liga Juara Juara, Piala Super Eropah, Piala Kelab Dunia dan Kejuaraan Eropah bersama Portugal manakala Anugerah Pemain Wanita Terbaik FIFA 2016 pula menjadi milik pemain Amerika Syarikat, Carli Lloyd.

Pengendali Leicester City, Claudio Ranieri pula mengetepikan calon pilihan yang juga jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane dan juara Eropah, Fernando Santos (Portugal) bagi Anugerah Jurulatih Lelaki Terbaik FIFA 2016 susulan kejayaannya mencipta kejutan terbesar musim lalu apabila membawa The Foxes meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali pertama dalam sejarah pasukan itu.

Kejayaan membawa pasukan bola sepak wanita Jerman meraih emas sulung dalam acara bola sepak pada temasya Olimpik Rio 2016 melayakkan pengendalinya, Silvia Neid merangkul Anugerah Jurulatih Wanita Terbaik FIFA 2016 menewaskan jurulatih Amerika Syarikat, Jill Ellis dan Pia Sundhage dari Sweden.

Bagi Anugerah Penyokong Terbaik FIFA 2016, anugerah dikongsi bersama oleh penyokong Liverpool dan Borussia Dortmund yang bersama-sama bersolidariti dengan menyanyikan lagu 'You'll Never Walk Alone' bagi mengenang mangsa Tragedi Hillsborough ketika perlawanan Liga Europa membabitkan kedua-dua pasukan itu.

Anugerah Fair FIFA 2016 menjadi milik pasukan daripada Colombia, Atletico Nacional selepas 'pengorbanan' mereka melepaskan trofi Copa Sudamericana kepada pasukan Chapecoense yang terbabit dalam nahas kapal terbang ketika dalam perjalanan ke perlawanan akhir kejohanan terbabit, bulan lalu.


Bekas Pemain JDT, Pablo Aimar merenung tajam ke arah Faiz Subri semasa beliau memberikan ucapan kemenangan. Apa agaknya yang bermain di fikiran Aimar ketika itu?

Apa kata kita tengok video rakaman Faiz Subri menerima Anugerah Puskas dalam majlis gilang-gemilang yang dihadiri oleh ramai pemain bola sepak professional dari serata dunia.


0 comment... add one now