"Motor Kapcai Bakal Dihalang Memasuki Pusat Bandar Kuala Lumpur," - Menteri WP

Terkejut kami di mybuletin.net bila terbaca artikel dari Portal The Malay Mail Online yang menyatakan motosikal 'kapchai' mungkin bakal dihalang daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur. Kenyataan tersebut dikatakan dipetik daripada Menteri Wilayah Persekutuan dan kami kongsikan dengan anda berita sepenuhnya di bawah:


KUALA LUMPUR, 16 Januari - Kerajaan sedang mempertimbang untuk melarang motosikal ringan, yang lebih mesra dipanggil 'motor kapcai' daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan pelepasan gas karbon.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dipetik berkata pihak kerajaan mungkin melarang motosikal kelas ini masuk ke pusat bandar apabila pengangkutan awam menawarkan kadar bayaran yang lebih munasabah tidak lama lagi.

"Pada waktu siang, populasi di tengah bandar meningkat kepada lima hingga tujuh juta kerana mereka menggunakan kenderaan untuk pergi ke kerja," katanya pada majlis pelancaran kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan, semalam.

"Sudah banyak bandar melarang motor kapcai tetapi berdasarkan kajian yang dijalankan nampaknya masih ramai orang yang menggunakannya kerana faktor kemiskinan dan mereka tidak mampu untuk menggunakan kenderaan lain atas sebab gaji yang rendah.

"Jadi apabila kadar pengangkutan awam kelak menjadi lebih menjimatkan, kita berkemungkinan akan melaksanakan larangan untuk motosikal kapcai dari memasuki tengah pusat bandar," tambah beliau lagi.

'Motor Kapcai' merujuk kepada kenderaan bermotor dengan kapasiti enjin dalam lingkungan 50 ke 150 cc, dan sangat popular dalam masyarakat Malaysia, terutamanya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana kerana harga yang sangat murah, serta mudah untuk digunakan ketika kesesakan jalan raya.

Pihak kementerian juga berkata kerajaan mempertimbangkan idea ini kerana motor kapcai sering digunakan untuk tujuan jenayah ragut yang kian meningkat di pusat bandar.

Lebih 500,000 rakyat Malaysia mendaftarkan motosikal mereka setiap tahun, seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Selain daripada itu, penunggang motosikal juga sering menyumbang kepada kadar kemalangan jalan raya yang tinggi. Kematian melibatkan penunggang motosikal juga semakin membimbangkan. Jadi cadangan seperti ini bakal memberikan hasil yang positif kepada kebanyakan perkara.

0 comment... add one now