Lebih Banyak Syarikat Akan Henti Operasi

EKONOMI Malaysia pada tahun ini dijangka terus menunjukkan perkembangan kurang memberangsangkan apabila lebih banyak syarikat terpaksa ditutup dan banyak syarikat asing menarik modal keluar meninggalkan Malaysia.

Gambar sekadar hiasan

Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia, Datuk Low Kian Chuan berkata, untuk mengelakkan keadaan itu menjadi teruk, kerajaan perlu bertindak segera dengan mengukuhkan kedudukan mata wang ringgit daripada jatuh.

"Sekiranya syarikat-syarikat asing ini menarik keluar modal mereka dan membuka kilang di negara lain, ia sudah pasti menjejaskan peluang pekerjaan rakyat tempatan, sekali gus meningkatkan kadar pengangguran di Malaysia," kata Kian Chuan seperti dilaporkan Sin Chew Jit Poh.

Menurut laporan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), seramai 31,476 pekerja telah ditamatkan perkhidmatan bermula 1 Januari hingga September tahun lalu dan daripada jumlah itu, 17,051 pekerja terlibat dalam pemberhentian biasa, manakala bakinya 14,425 pekerja dalam pemberhentian secara sukarela (VSS).

Kian Chuan berpendapat, terdapat beberapa sebab utama kedudukan ekonomi Malaysia masih gagal menunjukkan pertumbuhan menggalakkan.

"Antaranya ialah kejatuhan harga sumber asli seperti minyak petroleum dan gas asli, kekurangan penghasilan minyak kelapa sawit sehingga menjejaskan pendapatan negara.

"Selain itu, persekitaran perniagaan yang kurang mesra di negara kita dan kejatuhan nilai mata wang ringgit turut menjadi punca keadaan ekonomi Malaysia tidak menunjukkan tanda-tanda positif," kata Kian Chuan.

Menurut beliau, kerajaan mesti berusaha menstabilkan kedudukan nilai ringgit kerana nilai ringgit adalah penunjuk aras keyakinan kepada pelabur asing.

Pakatan Harapan

Pakatan harapan akan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekiranya berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan daripada BN pada PRU14.

Menurut Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, pengiktirafan itu dicapai hasil persetujuan daripada semua parti komponen dalam Pakatan Harapan dan ia juga dimasukkan dalam manifesto serta matlamat pakatan pembangkang.

"Semasa saya masih menjadi ahli Majlis Tertinggi BN dan Umno, kami pernah mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan Gabungan Persatuan Ahli Lembaga-lembaga Sekolah Cina (Dong Zhong) mengenai isu UEC ini," kata Saifuddin yang juga bekas Menteri Pendidikan.

Saifuddin berkata, di beberapa negara lain seperti Amerika Syarikat, England, China, Hong Kong, Taiwan, malah Singapura, sejak dulu telah menerima pelajar yang memiliki UEC untuk menuntut di universiti di negara mereka.

"Terdapat 61 sekolah persendirian Cina di seluruh Malaysia. Setiap tahun, lebih kurang 7,000 pelajar dari sekolah menengah persendirian ini tidak dapat melanjutkan pengajian mereka di universiti awam disebabkan kerajaan tidak mengiktiraf UEC," katanya.

Terpaksa jual dengan harga murah

Tahun Baharu Cina kini hanya tinggal kurang daripada seminggu, namun suasana kemeriahannya masih belum dirasai di pusat-pusat beli-belah dan kedai-kedai yang menjual barangan untuk persiapan perayaan berkenaan.

Tinjauan yang dibuat oleh China Press mendapati, ramai pekedai bimbang dengan situasi itu sehingga terpaksa memikirkan pelbagai cara untuk melariskan jualan masing-masing.

Bagi mengelak kerugian yang lebih teruk, pekedai terpaksa membuat potongan harga yang banyak asalkan dapat memperbanyakkan jualan, walaupun mereka dikatakan hanya memperoleh keuntungan sedikit, namun ia dikira pilihan terbaik.

Sebagai contoh, jualan limau mandarin yang menjadi makanan tradisi pada setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina, dipercayai mengalami kemerosotan dari segi jualan berbanding tahun lalu.

Menurut seorang pengurus di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur, jualan limau mandarin dianggarkan susut antara 20 hingga 30 peratus berbanding tahun lalu, begitu juga dengan jualan pakaian yang turut menurun sehingga 30 peratus. - Sinar Harian

0 comment... add one now