Mufti Minta Polis Dedah Wajah Gengster Pukul Pemandu Lori

KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Prof Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mahu polis mendedahkan wajah mereka yang membelasah seorang pemandu lori di kondominium Puncak Anthenaneum, Bukit Antarabangsa pada 14 Januari lalu kepada masyarakat umum.


Kata beliau, wajah-wajah gengster terbabit perlu didedahkan kepada masyarakat supaya menjadi pengajaran dan tidak lagi pihak menjadi mangsa mereka.

“Tahniah atas ketegasan pihak polis. Rakyat hendaklah sama-sama membantu agar penjenayah yang jijik itu diheret kepada hukuman yang sewajarnya.

“Masyarakat Malaysia perlu didedahkan wajah-wajah penjahat itu supaya kejahatan mereka dapat diawas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Asri berkata, mereka yang memukul pemandu lori itu dengan cara yang kejam dan jahat hendaklah diheret ke muka pengadilan dengan segera.

Malah, katanya, rangkaian ‘gengsterisme’ kumpulan lelaki tersebut perlu juga didedahkan kepada masyarakat.


“Mereka yang seperti inilah yang sering cuba mewujudkan suasana ketakutan sehingga mangsa bimbang terhadap diri ataupun pekerjaan ataupun keluarga untuk membuat laporan polis,” katanya. 

0 comment... add one now