Pekerja Syarikat Kurier Biadap, Cuai Kendali Barang

GARA-GARA berang dengan tindakan sebuah syarikat perkhidmatan kurier yang sambil lewa mengendalikan barang, seorang pelanggan memuat naik video keadaan di syarikat tersebut yang terletak di Dungun, Terengganu.


Menerusi akaun Facebook, mangsa yang menggunakan nama Wan Lina Wan Ali mendakwa syarikat perkhidmatan kurier tersebut hanya membiarkan barang yang dihantar pelanggan di luar kawasan pejabat tanpa pengawasan kamera litar tertutup (CCTV).

Wan Lina dalam statusnya itu mendakwa pekerja syarikat tersebut bersikap biadap terhadapnya apabila mempersoalkan barangan pelanggan yang dibiarkan di bahagian belakang pejabat.

“Saya bertanya mengenai barang yang dihantar dan bagi tracking number kepada salah seorang pekerja.

“Pekerja itu beritahu barang saya sudah berada di dalam van dan pemandu sedang berehat serta mengarahkan saya tunggu barang sampai,” tulisnya.

Alangkah terkejutnya apabila dia hendak memasuki kenderaan mendapati barang miliknya iaitu majalah berharga RM2,000 diletakkan di luar bersama beberapa barangan berharga lain termasuk barangan elektrik.

Dia kemudiannya masuk semula ke dalam pejabat tersebut dan bertanyakan kepada pekerja mengenai keadaan barang milik pelanggan yang diletakkan di luar sedangkan masih ada ruang di dalam pejabat itu.

“Sebelum itu mereka beritahu barang saya berada di dalam van tetapi masih berada di luar tanpa pengawasan cctv dan apabila saya bertanyakan kenapa barang berada di luar, salah seorang pekerja menjawab dengan cara biadap.

“Dia berkata barang tersebut ada perlindungan insurans dan bukan kerjanya untuk mengangkat barang itu,” katanya.

Bagaimanapun, wanita yang berkelakuan biadap terhadapnya itu melarikan diri ke dalam bilik selepas mangsa mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam situasi tersebut.

Wan Lina menjelaskan, dia hanya bertanyakan soalan dalam keadaan baik namun dilayan seperti orang yang bersalah.

“Kalau saya menipu dan provok dia dulu, skynet ada CCTV, saya cabar mereka untuk viralkan gambar saya kalau betul saya yang mengamuk dulu,” katanya.

Jelasnya, barang yang dihantar pelanggan adalah amanah dan menjadi tanggungjawab pekerja untuk menjaganya dengan baik.


Ada netizen yang turut berkongsi pengalaman mereka menggunakan perkhidmatan kurier yang sama.

Kebanyakan pengalaman mereka adalah tidak indah kerana perkhidmatannya yang boleh dianggap teruk dan pekerja yang biadap.

Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi daripada syarikat perkhidmatan tersebut mengenai kejadian ini. 

0 comment... add one now