Rokok Penyebab Kerugian USD$ 1.4 Trilion

PARIS: Merokok menyebabkan ekonomi dunia kerugian lebih AS$1.4 trilion (RM6.20 trilion) pada 2012, dan membabitkan lebih satu per dua puluh daripada peruntukan penjagaan kesihatan.


Tabiat yang boleh membawa maut itu mengambil hampir dua peratus nilai ekonomi global, menurut pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Persatuan Barah Amerika, dengan hampir 40 peratus daripada bebannya ditanggung negara sedang membangun.

Ia termasuk AS$422 bilion(RM1.8 bilion) untuk rawatan dan kemasukan ke hospital, selain kos tidak langsung daripada kerugian buruh kepada penyakit dan kematian.

"Merokok menyebabkan beban berat ekonomi seluruh dunia, terutama di Eropah dan Amerika Utara, yang menyaksikan wabak tembakau paling maju.

"Kajian menonjolkan keperluan segera bagi negara melaksanakan langkah kawalan tembakau lebih tegas untuk menangani kos itu," menurut kajian yang disiarkan dalam jurnal Tobacco Control.

Penyelidik berkata, kajian itu adalah yang pertama memasukkan negara berpendapatan rendah dan sederhana dalam anggaran lebih tepat mengenai keseluruhan kos global wabak tembakau.

Kajian terdahulu memberi tumpuan kepada negara maju. Mereka menggunakan data dari 152 negara mewakili 97 peratus perokok dunia di Afrika, Amerika, Mediterranean Timur, Eropah, Asia Tenggara dan Pasifik Barat.

Ia termasuk data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Bank Dunia mengenai penyakit dan kematian disebabkan merokok, kadar pekerjaan dan KDNK.

Pada 2012, penyelidik mendapati 'penyakit disebabkan merokok merangkumi 12 peratus daripada semua kematian dalam kalangan umur bekerja antara 30 dan 69 tahun, dengan yang tertinggi adalah di Eropah dan Amerika. - AFP

0 comment... add one now