Sorok Wang Tunai, Jongkong Emas, Kereta dan Jam Tangan Mewah Bernilai Jutaan Ringgit Di Rumah

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas kira-kira RM550,000 lagi daripada rumah Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), semalam.


Menurut sumber-sumber, wang tunai termasuk British Pound Sterling, Euro dan Singapore Dollar itu dipercayai disembunyikan anak suspek di kediaman mereka.

"Kita sudah merakamkan percakapan anak suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an untuk membantu siasatan. Bagaimanapun, tiada tangkapan baru dilakukan,"katanya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan rampasan wang tunai itu tetapi enggan mengulas lanjut berhubung siasatan kes itu.

Rabu lalu, KSU berusia 59 itu ditahan di kediamannya, manakala dua anak lelakinya masing-masing berusia 29 dan 34 yang juga pengurus di dua syarikat berbeza ditahan di Ibu Pejabat SPRM selepas memberi keterangan.

Berikutan penahahan itu, SPRM merampas jongkong emas, beg tangan berjenama dan jam tangan mewah bernilai lebih RM3 juta dalam pemeriksaan lebih 12 jam di rumah suspek.

Sementara kelmarin, SPRM merampas dan menyita beberapa aset lain termasuk jongkong emas seberat lapan kilogram (kg) bernilai RM1.6 juta.

Selain itu, RM1 juta tunai termasuk mata wang AU$80,000 (RM264,000) dari peti simpanan suspek di dua bank di ibu negara turut dirampas.

Turut dirampas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima milik anak lelaki suspek.

Selain itu, suspek juga dipercayai memiliki lebih 10 lot tanah bernilai jutaan ringgit di sekitar Lembah Klang.

Suspek dan dua anak lelakinya kini ditahan reman tujuh hari sehingga 11 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009.

0 comment... add one now